Tuesday, September 1, 2009

Sifat Malu Ibarat Menguncupnya Daun Semalu

Posted by Nisa' News Network at 9:24 PM

Menurut Sirah, Saidina Ali Karramallahuwajhah tidak pernah melihat auratnya sendiri, apatah lagi melihat aurat manusia lain. Diriwayatkan dalam sebuah kisah ketika peperangan Uhud, sebagaimana tradisi peperangan dahulu mereka akan berlawan secara berdepan. Biasanya akan dimulai dengan perlawanan satu lawan satu di antara panglima kedua-dua belah pihak.

Maka dalam peperangan Uhud itu, pihak musuh telah menghantar wakilnya Talhah bin Uthman sebagai panglima yang akan mara kehadapan. Mankala pihak Islam pula diwakili oleh Sadina Ali KWH. Di awal perlawanan panglima kafir Quraisy telah mencabar tentera Islam.

“Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu mendakwa bahawa pedang kamu akan membawa kami semua ke neraka, manakala pedang kami akan membawa kamu ke syurga. Adakah ada dari kalangan kamu yang mahu mencabar aku sehingga pedangku ini akan membawanya ke syurga atau pedangnya yang akan membawa aku ke neraka?!” Laung panglima itu.

Tanpa berlengah Saidina Ali KWH dengan berani menyahut cabaran itu.

“Demi Allah, aku tidak akan melepaskan kau sehinggalah pedangku ini menghantarmu ke neraka atau pedangmu menghantarku ke syurga!” Balas Saidina Ali KWH dengan lantang.

Sejurus kemudian, maka berlakulah pertempuran sengit di antara kedua panglima gagah yang mewakili kedua belah pihak. Jika mahu menilai dari segi usia, Saidina Ali KWH ketika itu masih muda berbanding panglima si Kafir. Namun, berkat kesungguhan dan semangat beliau untuk membela agama tercinta, dia akhirnya berjaya menumpaskan Talhah bin Uthman dengan memancung kakinya.

Serentak itu, Rasulullah SAW serta para sahabat bertakbir apabila melihat Talhah bin Uthman tersungkur ke bumi bersama keangkuhannya.

Akan tetapi, Saidina Ali KWH tidak jadi membunah panglima Quraisy yang menyembah bumi itu. Beliau lantas bertemu Rasulullah SAW. Maka berlakulah dialog antara baginda Rasulullah SAW dan Saidina Ali KHW.

“Kenapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali?” Tanya Rasulullah SAW.

“Ya Rasulullah SAW, sewaktu aku ingin membunuhnya, aku ternampak auratnya terbuka. Lantas aku berpaling darinya dan aku malu untuk mendatanginya buat kali kedua.” Jawab Saidina Ali KHW merungkai persoalan.

Terpaku sejenak saya membaca kisah itu. Diam membisu.

Betapa hebatnya tarbiyyah yang Rasulullah SAW ajarkan kepada para sahabat dalam melahirkan generasi yang mempunyai akhlak yang mulia sehinggakan ketika bertempur di medan perang juga masih faham harga diri dan erti apa itu rasa malu. Mereka itu lebih berani dari kita dan lebih malu dari kita bagai langit dengan bumi jaraknya!

Turut tercatat dalam kanvas sirah, ketika mana musuh mahu menyelamatkan diri daripada dilibas mudah oleh Saidina Ali KHW, mereka akan menyelak aurat masing-masing agar tidak jadi dibunuh. Begitu juga kisah mengenai Amru bin Al-‘As r.a membuka auratnya semasa berlaku peperangan Siffin untuk mengelak dirinya daripada dibunuh oleh Saidina Ali KHW.

Ibnu Ishak menceritakan bahawa ketika mana Saidina Ali KHW memandikan jenazah baginda Rasulullah SAW, dia meletakkan jenazah baginda di atas ribaanya tanpa menanggalkan pakaian Rasulullah SAW. Kemudian Saidina Ali KWH mengosok tubuh badan jenazah Rasulullah SAW melalui bahagian luar pakaian tanpa menyentuhnya dengan menggunakan tangan. Saidina Ali KHW juga dibantu oleh Al-Abbas r.a, Al-Fadhal r.a dan Qasam r.a untuk mengangkat jenazah baginda SAW. Manakalah Usamah bin Zaid r.a dan Syaqran r.a ditugaskan untuk menjirus air.

Sifat Malu Sudah Terhakis

Mari kita terbalikkan kisah di atas dengan realiti semasa. Maksud saya begini, jika Saidina Ali KHW sangat malu melihat aurat manusia, umat Islam kini pula tidaklah sangat malu untuk mendedahkan aurat merata-rata.

“Eh, tolong sikit ye.. sapa cakap saya tak tutup aurat ni?” Marah seorang gadis bila ditegur tidak menutup aurat.

“Tutup aurat itu hanya dengan sehelai tudung sahajakah? Badan kamu itu bukan aurat ya?” Balas pula rakannya spontan.

Cuba kita renung sejenak di atas kerusi masing-masing. Hadirkan rasa insaf dan sedih dalam merenungi penulisan ini. Bagaimana kini kita begitu mudah tanpa rasa bersalah walau secubit pun melondehkan seluar baju semata-mata ingin mendedahkan khazanah tubuh badan?

Tepuklah minda yang tepu itu. Apakah kita mahu menjadi insan yang rendah maruah diri? Yang rela tubuh dibakar api Jahannam? Jangankan api neraka, api mancis juga sudah menggelupur kesakitan. Nauzubillahhi minzalik.

Di sana sini gadis-gadis seronok membogelkan diri. Mereka merasa megah untuk menayangkan tubuh badan sambil melenggokkan pinggul umpama itik pulang petang. Bahkan ramai menyangka sudah menutup aurat dengan sehelai tudung nipis lagi jarang.

Apakah lengan dan bahu wanita itu bukan aurat untuk ditutupi dengan kain?Apakah pakaian ketat dan nipis itu sangat dianjurkan oleh agama?

“Alaa, rilexlah Broo… kubur masing-masingkan..” Beralasan mudah mahu lari daripada dipersalah.

“Kamu lompatlah sendiri masuk dalam kubur tu kalau dah mati nanti ya..” Jawab saya mudah.

Bukan sahaja golongan hawa, malah golongan lelaki juga tidak terlepas dari dihujum sama. Lihat saja setiap kali tiupan wisel permainan bola sepak dibunyikan. Berduyun-duyun lelaki dengan bangganya mempamerkan betis dan peha masing-masing. Sudah menjadi trend berseluar pendek. Mungkin kerana masih mengharapkan supaya Allah SWT menurunkan bala kepanasan global tahap maksimum agaknya.

Bila hilang rasa MALU, apa sahaja kemaksiatan ‘boleh’ dilakukan tanpa perlu berselindung lagi.

Jauh lagi kita rupanya dengan sifat MALU yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan Saidina Ali KHW!

Dipetik daripada sumber asal di blog Mohd Farid bin Md Rashidi

0 comments on "Sifat Malu Ibarat Menguncupnya Daun Semalu"

Post a Comment

 

Tanyalah Ustazah Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal